Perutusan Pengerusi

Perutusan
  • YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْه

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar (istiqamah), akan turun malaikat kepada mereka (yang akan berkata) “janganlah kamu bimbang dan janganah kamu berdukacita, serta bergembiralah, bahawa kamu akan beroleh surga yang telah dijanjikan kepada kamu”  (Surah Fussilat, ayat 30)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dan salam selawat bagi Nabi Muhammad SAW yang telah membawa risalah rahmatan lil alamin sehingga kita dapat mengabadikan diri kepada Allah SWT. Sebagai sebuah kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar, kita tetap menyatakan komitmen kita untuk terus berusaha menegakkan perintah- perintah Allah dalam urus kuasa yang kita ada. Dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dibangunkan oleh al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1990. Kita berusaha untuk menyambung legasi ini sehingga terlaksana seluruh perintah Allah SWT.

Ketika IPTG ditubuhkan pada 2013, kita menyasarkan supaya ia dapat memainkan peranan untuk menjadi pusat pengembangan, latihan dan keilmuan, selain  sebagai pusat kajian untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasar Islam berasaskan MBI dan UMI yang telah diterokai oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kita sedar masih banyak gagasan yang telah dilontarkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya dan IPTG diharapkan akan mengembangkan usaha untuk menggali khazanah keilmuan dan warisan yang ditinggalkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi maksud tersebut.

Dalam menghadapi perubahan-perubahan politik pasca 2015 ini, IPTG  mempunyai tugasan yang lebih mencabar kerana adanya anasir-anasir yang cuba menyalahgunakan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam rangka meruntuhkan bangunan MBI yang telah al-marhum  bangunkan. Maka, menjadi salah satu peranan IPTG dalam konteks kontemporari ini untuk membantu kerajaan negeri bagi menanamkan semula kesedaran kepada rakyat di semua peringkat tentang gagasan Islam yang dipanjangkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengikut rangka Al-Quran dan Sunnah. Agenda besar untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan berasaskan Islam dan legasi kepemimpinan Ulamak ini mesti didukung oleh semua pihak dengan IPTG menjadi tenaga pengacunya.


YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob

(Menteri Besar Kelantan)